Rabitah Antarabangsa Alumni al-Azhar Malaysia (WOAG Malaysia)

يَأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱصبِرُواْ وَصَابِرُواْ وَرَابِطُواْ وَٱتَقُواْ ٱللَّه لَعَلَّكُمْ تُفۡلِخُونَ

“Al-Azhar di Hatiku”

 

Memuat waktu...
Memuat data pengunjung...

Pengenalan Rabitah Antarabangsa Alumni al-Azhar Malaysia (WOAG Malaysia)

Latarbelakang

Al-Azhar al-Sharif merupakan sebuah institusi keagamaan tinggi yang ditubuhkan lebih 1,500 tahun yang lalu dan sentiasa konsisten dengan pendekatan Wasatiyyah dalam menjelaskan kesucian dan keaslian agama yang menjadi asas ketamadunan dan kemajuan. Dalam konteks Malaysia, al-Azhar melalui universitinya telah melahirkan sejumlah besar alumni daripada kalangan anak watan Malaysia sejak akhir 1950-an. 

Generasi awal lepasan al-Azhar telah memberi sumbangan yang amat signifikan khususnya dalam kemajuan Islam di Malaysia melalui pelbagai sektor termasuk pendidikan, politik dan pengurusan hal ehwal Islam.

Pertubuhan Antarabangsa Alumni al-Azhar Kaherah (WOAG Cairo) telah didaftarkan sebagai Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dengan Kerajaan Mesir pada tahun 2007. Ianya diasaskan oleh sekumpulan Ulama’-Ulama’ besar Mesir yang terdiri daripada Sheikh Muhamad Syed Tantawi, mantan Sheikh al-Azhar, Fadilatul Imam al-Akbar Prof. Dr. Ahmed Mohamed Ahmed el-Tayyeb, Sheikh Al-Azhar sekarang, Dr. Mahmud Hamdi Zaqzuq, mantan Menteri Wakaf Mesir dan Ulama’-Ulama’ lepasan Al-Azhar yang lain dari seluruh dunia.

Tujuan utama penubuhan Rabitah ini adalah untuk menyampaikan wadah Al-Azhar kepada ribuan lepasan al-Azhar di seluruh dunia serta menjalinkan hubungan yang lebih erat sesama ahli. Selain itu, Rabitah juga akan menganjurkan aktivitiaktiviti yang boleh memberi faedah kepada ahli selain membawa mesej wasatiyah yang jauh dari pemikiran ekstrem.

Rabitah Antarabangsa Alumni al-Azhar Malaysia pula telah diasaskan secara tidak rasminya pada 17 Februari 2009 yang di pengerusikan oleh YBhg. Dato’ Zainal Abidin Bin Abdul Kadir, Duta Besar Malaysia Ke Kaherah Republik Arab Mesir pada ketika itu. Berdasarkan mesyuarat yang telah diadakan pada 20 November 2011, kesemua ahli mesyuarat telah bersetuju untuk menubuhkan Rabitah Antarabangsa Alumni al-Azhar cawangan Malaysia.

Penubuhan Rabitah Antarabangsa Alumni al-Azhar Malaysia (WOAG Malaysia) pada 1 Mac 2012 merupakan hasrat peribadi serta pengiktirafan dan penghargaan daripada Fadilatul Imam al-Akbar Prof. Dr. Ahmed Mohamed Ahmed el-Tayyeb, Sheikh al-Azhar al-Sharif. Hakikatnya bahawa lima daripada enam belas orang pimpinan WOAG Malaysia bukan daripada kalangan lepasan Universiti al-Azhar dan hal ini membuktikan bahawa Wasatiyyah al-Azhar adalah untuk semua dan harus menjadi gagasan perjuangan semua golongan.

WOAG Malaysia juga merupakan salah satu daripada empat belas cawangan Pertubuhan Antarabangsa Alumni al-Azhar Kaherah (WOAG Cairo) yang beribu pejabat di Kaherah, Mesir. Kelebihan Malaysia dari segi iklim politik dan sosio-ekonomi boleh menjadi pemangkin kepada kepantasan dan keaktifan WOAG Malaysia.

Objektif

1️⃣ Berfungsi sebagai wadah untuk penerapan pemikiran sederhana dan toleransi yang dibawa oleh Universiti Al-Azhar serta memindahkan ideologi & warisan Universiti Al-Azhar kepada masyarakat di Malaysia di samping mempromosikan keamanan, kasih sayang dan keharmonian dalam masyarakat.

2️⃣ Membantu agenda mempromosikan pemikiran Islam sebenar yang termaktub dalam prinsip Islam yang merangkumi akidah, tafsir, hadis, tasawuf, fikah dan amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah, seterusnya menolak semua jenis penipuan dan kepalsuan berkaitan Islam serta keganasan atas nama Islam.

3️⃣ Merancang, menyusun dan melaksana projek, aktiviti atau program yang bertujuan untuk melindungi budaya dan warisan Islam yang diperkenalkan oleh Universiti Al-Azhar termasuk pemikiran sebenar Islam dan pembelajaran Bahasa Arab.

4️⃣ Merancang dan menyusun hubungan antara pertubuhan dengan agensi, institusi dan individu lain bagi membantu kerjasama melalui aktiviti antara-agama dan dalam-agama untuk memastikan dunia dan media Barat mendapat kefahaman yang lebih jelas tentang Islam serta mengenepikan salah faham yang sering wujud tentang Islam di samping secara proaktif melawan propaganda yang mempunyai matlamat untuk melahirkan kesangsian dan kekaburan tentang Islam.

5️⃣ Memberi dan menyokong latihan serta mendidik sarjana dan pendakwah Islam untuk melengkapkan mereka dengan alat yang efektif dalam menjalankan kerja-kerja dakwah supaya mereka dapat menghadapi cabaran masa depan dan menjadi pemegang obor Islam di dunia ini.

6️⃣ Membantu kebajikan ummah sama ada dalam bentuk kewangan, pendidikan, keperluan fizikal mahupun dalam apa jua bentuk bantuan yang bersesuaian.

 

 

Visi & Misi

“Wadah Pendukung Manhaj Azhari ke arah Penyatuan dan Pembangunan Ummah”

Menyatukan seluruh pendukung Manhaj Azhari melalui pelaksanaan tadbir urus yang mapan.

Memanfaatkan tenaga pakar dalam kalangan alumni al-Azhar menerusi pendidikan, penyelidikan, terjemahan, penerbitan dan lain-lain.

Mengembangkan jaringan yang memperkukuh peranan alumni al-Azhar di peringkat tempatan, serantau dan seluruh dunia.

Memperluaskan penglibatan dalam kegiatan ekonomi, kebajikan dan hal ehwal wanita untuk kesejahteraan ummah.

Pejabat

AlamatGround Floor, Kompleks Yayasan Jabal Nur (YJN), 1, Jalan Jalil Perwira 2, Bukit Jalil, 58200 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Malaysia.

TERIMA KASIH TELAH BERKUNJUNG
AlamatGround Floor, Kompleks Yayasan Jabal Nur (YJN), 1, Jalan Jalil Perwira 2, Bukit Jalil, 58200 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Malaysia.
 
Telepon: +60 3-7772 0715
E-Mail: rabitahmalaysia@gmail.com
Web: woag-malaysia.org.my 

© All Rights Reserved.