Rabitah Antarabangsa Alumni al-Azhar Malaysia (WOAG Malaysia) memberi sokongan penuh kepada Rang Undang-Undang (RUU) Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 yang telah dibentangkan di parlimen oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Dato’ Setia Dr Hj. Mohd Na’im Hj. Mokhtar. Ia amat penting kerana dapat memperkasakan lagi pengurusan hal ehwal Islam di Malaysia.

Kami menyokong penuh RUU Mufti Wilayah Persekutuan terutamanya pada perkara 4 yang mentakrifkan Ahli Sunnah Wal Jamaah daripada sudut akidah bersumberkan aliran al-Asya’irah dan al-Maturidiah, fiqh Mazhab Syafie dengan meraikan 3 Mazhab yang lain, dan tasawuf Imam Ghazali dan Imam Junaid.

RUU Mufti Wilayah Persekutuan 2024 ini dapat memperkukuhkan lagi kedudukan Mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah berlatarbelakang aliran al-Asya`irah dan al-Maturidiah yang sudah sekian lama diterima pakai di Malaysia dan alam Melayu.

Perkara-perkara yang terkandung dalam RUU ini bertepatan dengan manhaj wasatiyyah yang dipelopori oleh institusi pengajian tersohor dalam dunia Islam, al-Azhar al-Syarif.

Usaha untuk menjelaskan maksud Ahli Sunnah Wal Jamā’ah di Malaysia secara lebih sempurna ini sangat penting terutamanya sebagai rujukan untuk masyarakat awam Islam yang mudah ditipu oleh sesetengah pihak dengan berselindung disebalik nama Ahli Sunnah wal Jamaah.

Sokongan RUU Mufti Wilayah Persekutuan 2024 dapat membawa kepada perpaduan umat Islam menerusi dasar Ahlus Sunnah Wal Jamaah melalui aliran al-Asyairah dan al-Maturidiah dengan saranan tokoh-tokoh ulama muktabar sepanjang zaman. Perkara ini secara langsung mengekang pemikiran ekstremisme yang merosakkan perpaduan umat Islam.

Oleh yang demikian, Rabitah Antarabangsa Alumni al-Azhar Malaysia (WOAG Malaysia) berdiri teguh menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 bagi menjaga kesejahteraan dan perpaduan dalam kalangan umat Islam.

Sekian, terima kasih.

PROF. DATO’ DR MOHD FAKHRUDIN BIN ABDUL MUKTI

Presiden,

Rabitah Antarabangsa Alumni al-Azhar Malaysia (WOAG Malaysia)

– Kenyataan Media 7 Julai 2024 bersamaan 1 Muharram 1446H

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *